03 Ogos 2015

Sesetengah Mikroorganisma Berbahaya & Sesetengahnya Berfaedah

Mikroorganisma Berfaedah

Mikroorganisma digunakan dalam proses pembuatan makanan seperti roti, keju, dadih, dan kicap.

Yis digunakan untuk mengembangkan doh supaya roti menjadi lembut dan gebu.

Sesetengah bakteria digunakan untuk memproses susu supaya menjadi keju.

Dadih dihasilkan melalui tindakan bakteria ke atas susu.

Kicap dihasilkan melalui tindakan yis ke atas kacang soya.

Sesetengah mikroorganisma seperti bakteria dan kulat menguraikan bahan organik untuk membentuk baja semula jadi yang disebut kompos

Mikroorganisma Berbahaya

Sesetengah mikroorganisma berbahaya kepada manusia dan menyebabkan penyakit, keracunan makanan, makanan menjadi rosak dan pereputan gigi. Banyak jenis penyakit disebabkan oleh bakteria dan virus. Sesetengah penyakit pula disebabkan oleh kulat dan protozoa.

 
Penyakit-penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma

Keracunan makanan berlaku apabila seseorang minum atau makan makanan yang telah dicemari oleh mikroorganisma atau toksin yang dihasilkan oleh mikroorganisma.

Aktiviti mikroorganisma menyebabkan makanan berbau busuk dan berasa masam.

Sisa makanan di dalam mulut dan di celah-celah gigi kita menggalakkan pembiakan bakteria tertentu. Aktiviti bakteria ini menyebabkan pereputan gigi.

Bagaimana Mikroorganisma Merebak

Sesetengah penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma boleh merebak daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Penyakit ini dikenali sebagai penyakit berjangkit. Contoh-contoh penyakit berjangkit ialah selesema, campak, taun, dan cacar air. Penyakit berjangkit boleh merebak melalui udara, makanan dan air, dan sentuhan secara langsung.

Udara

Banyak penyakit boleh merebak melalui udara. Apabila seorang pesakit bersin atau batuk tanpa menutup mulutnya, titisan air yang mengandungi virus atau bakteria dibebaskan ke udara. Virus atau bakteria itu menjangkiti orang yang sihat apabila orang itu menyedut udara yang tercemar.

Makanan Dan Air

Kelalaian dalam penyediaan makanan seperti tangan, peralatan dan tempat yang kotor, boleh menyebabkan makanan mudah terdedah kepada mikroorganisma yang berbahaya. Makanan dan air yang tidak ditutup juga boleh dicemari oleh haiwan seperti lalat dan lipas yang membawa mikroorganisma berbahaya.

Sentuhan Secara Langsung

Sesetengah penyakit seperti, campak dan cacar air boleh merebak melalui sentuhan secara langsung. Penyakit kulit seperti penyakit kaki makan air dan kurap sangat mudah merebak sekiranya kita berkongsi barangan peribadi seperti pakaian dengan orang yang dijangkiti.

Pencegahan Penyakit Yang Disebabkan Oleh Mikroorganisma

Penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma boleh dicegah daripada merebak dengan:
a) Membalut luka
b) Minum air yang telah dididihkan
c) Kuarantin pesakit yang menghidap penyakit berjangkit
d) Tidak berkongsi barangan peribadi dengan pesakit
e) Menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin
f) Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan atau selepas menggunakan tandas



Tiada ulasan:

Catat Ulasan